Hubungi:

SHAMSUDIN BIN MOHAMAT
Perunding Wasiat (WMSB-PK136)
4B Kedai MDM, Pekan Bukit Payong, 21400 Marang, Terengganu
H/P: 013-9324414; TEL/FAX : 09-6190531
.......................................................................................................................................................................................................................

Koleksi Berita Wasiat

Jumlah wasiat yang diuruskan oleh Amanah Raya Bhd. meningkat


KUALA LUMPUR 25 Nov 2010. – Jumlah wasiat yang diuruskan oleh Amanah Raya Bhd. (Amanah Raya) diramal meningkat kepada 500,000 menjelang akhir tahun ini, melalui sokongan beberapa produk baharu.

Setakat Oktober lalu, Amanah Raya sudah menerima 460,412 permohonan untuk pengurusan wasiat, kata Ketua Pegawai Pemasarannya, Ahmad Saruji Abdul Aziz.

Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan perkembangan semasa di mana orang ramai mulai sedar kepentingan perkhidmatan pengurusan wasiat.

“Jumlah permohonan yang diterima pada tahun ini juga meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan ini menunjukkan produk kami kini mendapat tempat di pasaran.

“Kami juga mempunyai 16 rakan korporat yang terdiri daripada bank dalam usaha menawarkan produk baharu yang lebih kompetitif dan hasilnya sangat memberangsangkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran pelan takaful keluarga, PruBSN Ummah di sini hari ini.

Ahmad Saruji berkata, selain rakan korporat tersebut, Amanah Raya turut bekerjasama dengan 10 agensi korporat dengan matlamat untuk memudahkan proses perluasan pasaran di pasaran tempatan.

Katanya, Amanah Raya turut merancang untuk bekerjasama dengan tiga buah bank dan dua buah agensi korporat tahun depan.

“Perkhidmatan yang kami tawarkan mendapat permintaan yang tinggi berikutan lebih eksklusif dan dijamin oleh kerajaan,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia




Pewaris aset beku dicari


Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kira-kira 500,000 pewaris aset beku bernilai RM40 bilion di kalangan masyarakat Islam negara ini dinasihatkan segera tampil menyelesaikan masalah harta berkenaan melalui pangkalan data jejakwaris@yahoo.com yang dibangunkan Khairul Group of Associates.

Pengerusi syarikat itu, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pangkalan data itu bertindak sebagai pusat sehenti orang ramai merujuk masalah pewarisan harta, waris tidak dapat dikesan, tuntutan bertindih, aset beku dan wasiat.

Beliau yang juga seorang peguam memberitahu, setelah sesuatu kes itu dikenal pasti melalui alamat e-mel pangkalan data tersebut, isu pewarisan harta seseorang pengadu akan dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan sehingga dua tahun.

"Dengan penyelesaian masalah aset beku dan wasiat, seseorang pewaris itu dapat meningkatkan tahap ekonomi mereka dan umat Islam di negara ini secara amnya.

"Tidak mustahil ada di antara 500,000 waris aset beku tidak dituntut yang kini hidup dalam keadaan daif sebenarnya merupakan hartawan dan jutawan yang tidak mengetahui hak mereka," katanya.

Khairul Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas tampil membicarakan isu itu dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 di sini hari ini.

Pada 17 Julai lalu, akhbar melaporkan terdapat kira-kira RM40 bilion nilai harta pusaka masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dibahagikan kepada waris berhak ekoran sistem pentadbiran harta yang kurang efektif.

Laporan itu juga menyebut, kesukaran serta nilai terkumpul tersebut adalah disebabkan undang-undang syariah yang longgar dan tidak seragam berkaitan wakaf, wasiat ar-rahn dan hibah serta kekangan undang-undang sedia ada.

Khairul menjelaskan, para pewaris harta akan dikesan melalui daftar agensi seperti Amanah Raya Berhad (ARB), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pejabat Tanah dan Galian.

Katanya, idea mewujudkan e-mel serta pangkalan data pewaris aset beku dan tidak dituntut seperti tanah, rumah dan pegangan saham timbul selepas 10 tahun beliau mengendalikan kes-kes syariah termasuk berkaitan harta pusaka.

"Orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan tuntutan harta, waris tidak dapat dikesan, pertelingkahan pewarisan, wasiat dan sebagainya boleh mendaftarkan harta dan nama masing-masing di alamat e-mel itu," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia



Mahkamah benarkan tiga anak Syed Kechik dan balu jadi pentadbir harta


30/07/2010 9:51pm


KUALA LUMPUR 30 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary, Syed Gamal bersama ibu tiri dan dua adik tiri perempuannya untuk mentadbir harta pusaka bernilai RM400 juta peninggalan bapanya.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng yang membuat keputusan itu pada pukul 8.15 malam ini bagaimanapun tidak memutuskan tentang kos guaman kerana ia membabitkan masalah keluarga. Namun begitu menurut Swee Seng, sekiranya terdapat lebihan maka berikanlah ia kepada Tabung Kebajikan untuk amal jariah.

Syed Gamal ialah anak lelaki tunggal hasil perkongsian hidup Allahyarham Syed Kechik dengan bekas isteri pertamanya, Zainab @ Eshah sebelum bercerai.

Pada 14 April lalu, Syed Gamal mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka peninggalan pengasas Yayasan Syed Kechik Holdings.
Syed Gamal selaku kaveator manakala ibu tiri serta dua adik perempuan tirinya itu, dinamakan sebagai pempetisyen dalam kaveat yang dikemukakan oleh beliau memohon untuk menjadi pentadbir bersama bagi menghalang mereka daripada menguruskan harta tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik 10 April tahun lalu pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.
Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang hartawan yang tersenarai antara tokoh kelapan terkaya di Malaysia.

Syed Gamal, 46, mengemukakan permohonan tersebut ekoran tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen pada 15 September tahun lalu, memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang memandangkan Syed Kechik tidak meninggalkan sebarang wasiat.

Sumber: Utusan Malaysia



Amalan wasiat elak perebutan harta, pergaduhan waris


2010/11/26

BERWASIAT bukan satu perkara atau amalan yang baru diperkenalkan. Pada awal permulaan Islam, perintah berwasiat hanya dibuat untuk kedua ibu bapa dan saudara mara terdekat. 

Firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, (hendaklah ia) berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 180)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Walau bagaimanapun, perintah wajib ini telah dimansuhkan. Menurut kebanyakan sahabat dan Mazhab Sunni yang empat termasuk Imam Syafie, apabila turunnya ayat al-Mawarith (ayat 11, 12, dan 176 surah al-Nisa’) iaitu ayat yang secara khusus menyentuh peruntukan bahagian ditetapkan ke atas waris dalam pembahagian harta pusaka. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak, maka tiada wasiat untuk warisnya.” (Hadis riwayat At-Tarmizi) 

Namun Baginda tetap menggalakkan umatnya supaya membuat wasiat melalui sabda yang bermaksud: “Tidak patut bagi seseorang muslim yang ingin berwasiat tidur selama dua malam, selagi ia tidak menulis wasiatnya di sisinya.” (Muttafaqun Alaihi) 

Wasiat disyariatkan melalui nas al-Quran, hadis, amalan sahabat dan ijmak. Berdasarkan amalan, sahabat ada berwasiat sebahagian harta mereka dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. 
Rasulullah juga tanpa jemu mengingatkan pentingnya berwasiat kerana ajal datang tidak diketahui bila dan bagaimana. Jika berlaku kematian secara mengejut kepada orang Islam tanpa membuat perancangan berkaitan hartanya dan tidak berwasiat, maka malang orang yang tidak berwasiat. 

Oleh demikian, janganlah berlengah atau bertangguh dengan menggunakan pelbagai alasan remeh yang sering didengar antaranya, saya tidak mempunyai harta untuk diwasiatkan. 

Mengikut pendapat sunni yang empat dan al-Zaidiyyah, walaupun wasiat tidak difardukan ke atas umat Islam, tetapi umat Islam dinasihatkan dan digalakkan untuk berwasiat dan hukum berwasiat banyak bergantung kepada keadaan serta situasi seseorang. 

Oleh itu, mengetahui hukum berwasiat berupaya mengubah pendirian seseorang dan menetapkan tindakan selanjutnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian.” (Surah al-Ma’idah, ayat 106) 

Sesungguhnya amalan berwasiat atas harta yang dimiliki mempunyai banyak faedah dan kebaikan jika dilakukan semasa hidupnya antaranya, dapat menjamin pembayaran hutang, pelaksanaan tanggungjawab, amanah dan mengelak berlakunya perebutan harta dan pergaduhan ahli waris. 

Apabila berlaku kematian, sebahagian si mati akan membawa bersama hutang-hutangnya bertemu Allah SWT seperti kewajipan zakat, fidiah kerana meninggalkan puasa, haji, kaffarah puasa dan hutang sesama manusia. 

Persoalan yang kian genting hari ini, siapakah antara waris yang akan memastikan hutang si mati dilunaskan jika kita tidak pernah memberitahu atau berwasiat kepada orang lain untuk melaksanakannya? 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Roh seseorang mukmin itu tergantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutang itu dilunaskan (dibayar).” 

Ada umat Islam yang meninggalkan harta (harta alih dan harta tak alih), tanah, bangunan, kenderaan, barang-barang, wang tunai, wang simpanan, saham, pelaburan dan sebagainya dengan berwasiat untuk tujuan kebajikan tidak melebihi 1/3 pusaka dan selebihnya akan diurus mengikut hukum faraid. 

Langkah ini secara langsung diharap dapat menjamin harta ditinggalkan si mati untuk tujuan kebajikan melalui wasiat dan akan berkekalan ganjaran pahala yang mengalir kepadanya apabila ia mati kelak. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Selain itu, mengetahui hukum berwasiat juga akan meningkatkan kefahaman waris menjalankan kewajipan masing-masing terutama mengenai kadar 1/3 yang boleh diwasiatkan. Apa yang terjadi, masih ramai yang samar-samar mengenai kadar yang boleh diwasiatkan. Dapatkan penerangan mengenainya minggu depan. 

Sumber: Berita Harian